PENGAJIAN tinggi adalah aset berharga bagi menjana modal insan kerana kemahiran serta kreativiti dalam teknologi dan inovasi yang dibina menerusi acuannya menjadi penyumbang terpenting dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan, membangunkan ekonomi serta menyemarakkan kesejahteraan sosial.
Dalam konteks institusi pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai fakulti, pusat kecemerlangan dan kampus, usaha memanfaatkan kepakaran, hubungan jaringan antarabangsa, kerjasama pihak industri, perkongsian serta penyebaran ilmu harus dipertingkatkan bagi menghasilkan inovasi bernilai tinggi untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Perubahan P&P perlu disegerakan bagi menjana kecemerlangan kerana jika penyampaiannya terus berada di takuk lama yang berdasarkan syarahan atau hafalan semata-mata, pastinya Malaysia akan ketinggalan.
Cara pengajaran lapuk hanya akan membantutkan kreativiti mahasiswa yang mahukan lebih daripada teori dan ia dianggap perkara yang mengganggu perkembangan minda serta daya pemikiran kerana tidak memberi peluang kepada perbincangan mahupun mengambil kira pandangan pelajar mengenai sesuatu isu.
Pembangunan sahsiah pelajar berkualiti menuntut prasarana pembelajaran kondusif dan bahan P&P yang mudah dicapai berteraskan penggunaan teknologi terkini, sekali gus membantu pelajar mengeksplorasi teknologi dan memperoleh kemahiran untuk mempersiapkan diri menempuh dunia pekerjaan yang bersifat global.
Perkembangan semasa menyaksikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai bidang yang mendominasi pasaran antarabangsa merentasi bidang strategik termasuk perniagaan, pengurusan, perbankan, pendidikan serta keselamatan.
Akhirnya proses P&P juga mestilah bertepatan dengan cita rasa pelajar supaya mereka dapat belajar dengan seronok serta penuh minat.
Tuesday, 19 May 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment