Sunday, 23 August 2009

KEGUNAAN TETIMBANG WHEATSTONE

Salah satu daripada kegunanan tetimbang telah pun dibincangkan sebelum ini, iaitu untuk mengukur rintangan. Rintangan sesebuah perintang boleh ditentukan jika tiga dari nilai perintang diketahui dan tetimbang berada dalam keseimbangan iaitu menggunakan konsep keseimbangan nol.

Antara lain kegunaan tetimbang Wheatstone ialah sebagai penyesuai isyarat dalam sistem pengukuran. Alat pengesan isyarat fizikal (sensor) seperti thermistor, tolok terikan, dan lain-lain yang mempunyai ciri perubahan rintangan terhadap perubahan parameter fizikal yang dikesan seperti suhu, tekanan, daya dan sebagainya biasanya akan menggunakan tetimbang bagi mendapatkan isyarat keluaran dalam bentuk isyarat elektrik. Sensor tadi akan ditempatkan di salah satu lengan tetimbang dan tiga lagi lengan tetimbang adalah perintang biasa yang diketahui nilainya.

Katakan pada asalnya tetimbang yang dibina daripada sensor dan 3 perintang berada dalam keseimbangan. Jika berlaku sebarang perubahan pada parameter fizikal yang sedang diukur oleh sensor, maka rintangan sensor tadi akan turut berubah. Ini akan menjadikan tetimbang tidak seimbang, wujud perbezaan keupayaan antara dua cabang tetimbang dan dengan itu isyarat keluaran dalam bentuk isyarat elektrik akan diperolehi. Magnitud arus yang terhasil kesan dari perubahan parameter fizikal yang diukur boleh ditentukan atau diukur dengan menggunakan metergalvano. Dengan itu hubungan antara parameter fizikal dan isyarat elektrik boleh diperolehi.

No comments:

Post a Comment